BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Islamic Widget



Sunday, December 5, 2010

Guru Dan Jenayah Seksual

Tajuk-tajuk akhbar seperti jenayah rogol, pembuangan bayi dan seumpanya sering kelihatan dewasa ini. Kes-kes salah laku seksual kini menjadi bahan perbualan dan polemik umum malah laporan mengenai kes rogol kepada kumpulan hak asasi wanita serta organisasi bukan kerajaan (NGO) dan juga di dalam akhbar adalah perkara biasa.

Menurut laporan akhbar, seramai 1,462 wanita telah dirogol dalam 10 bulan pertama tahun 2005 yang mana ia hanya 10 peratus daripada keseluruhan kes rogol yang telah dilaporkan kepada pihak polis. Pelacuran kanak-kanak juga wujud malah merujuk kepada statistik polis pada tahun 2002, 97 gadis berusia di bawah 18 tahun telah ditahan dan dihantar ke pusat pemulihan kerana terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral (lihat Seksyen 5, Perdagangan Manusia). (Biro Demokrasi, Hak Asasi dan Buruh, 2005).

Dewasa ini, mata pelajaran Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral sering dianggap sebagai subjek pelengkap dalam kalangan pelajar. Dengan kata lain, subjek dipelajari hanya disebabkan subjek adalah mata pelajaran wajib yang diambil kira dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Justeru itu, para pelajar kurang penghayatan terhadap subjek ketika proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kurang penghayatan dalam mata pelajaran kerohanian ini akan memberikan pelbagai implikasi negatif yang membimbangkan. Antaranya, wujud gejala sosial dan keruntuhan akhlak dalam masyarakat yang membabitkan kes-kes jenayah terutama salah laku seksual seperti yang tersebut di atas.

Sejajar dengan ideologi idealisme yang memberi fokus kepada akal, jiwa dan kerohanian. Akal, jiwa dan kerohanian adalah penting dalam kehidupan kerana kebenaran menurut mazhab ini hanyalah bergantung kepada tiga perkara tersebut (Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman, 2008:2).

Memandangkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Moral merupakan satu-satunya mekanisme yang mampu membina jiwa, membentuk kerohanian dan memupuk akhlak mulia dalam diri pelajar, guru-guru sewajarnya memainkan peranan mencegah salah laku seksual dengan menekankan penghayatan subjek-subjek ini kepada pelajar di sekolah.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Amir Hasan Dawi (2006: 242), Ibn Khaldun dan Al-Qabisi berpandangan bahawa pendekatan dalam pembentukan disiplin pelajar atau mengatasi salah laku pelajar perlu diterapkan dalam kegiatan kurikulum dan kokurikulum. Begitu juga disiplin boleh diterapkan melalui pembelajaran formal.

Langkah-langkah Pencegahan

01. Pemeliharaan pergaulan antara pelajar lelaki dan perempuan

Ini adalah perkara paling asas yang perlu diberi perhatian. Pergaulan yang melampaui batasan merupakan akar umbi kepada salah laku seksual. Dalam situasi keruntuhan moral yang semakin meruncing kini, saya menyokong tindakan guru-guru mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan dalam isu yang digembar-gemburkan baru-baru ini di mana sebuah sekolah menengah di Taman Seremban Jaya di sini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa kerana mengasingkan pelajar perempuan dan lelaki dalam semua aktiviti termasuk ketika membeli makanan di kantin (Harian Metro, 10 Januari 2008).

Berdasarkan teori perkembangan psikoanalisis Sigmund Freud; pada peringkat Genital (12 tahun ke atas), remaja mula menaruh minat terhadap rakan sebaya yang berlainan jantina. Ketika ini, kelenjar-kelenjar kelamin sudah mula berfungsi sebagai sumber kenikmatan dan wujud perasaan cinta dua arah.

Kesulitan-kesulitan yang timbul pada peringkat ini akan menyebabkan ketegangan yang berhubung dengan masalah seks (Ramlah Jantan dan Mahani Razali, 2002). Oleh kerana itulah syariat Islam diturunkan untuk mengatur hubungan antara manusia. Hubungan di antara manusia itu termasuklah mengatur bagaimana individu manusia yang berlainan jenis seharusnya bergaul.

Di dalam Islam, hukum asal bagi kehidupan lelaki dan wanita adalah terpisah (diasingkan). Islam melarang percampuran di antara lelaki dan wanita kecuali di dalam hal yang memerlukan interaksi seperti jual-beli, bekerja, perubatan, pertanian, industri dan sebagainya.

Namun, apabila berada di luar urusan yang memerlukan interaksi tersebut, maka seorang wanita haram melakukan interaksi dengan lelaki kecuali dengan mahramnya.

Tidak timbul masalah perkembangan remaja akan terganggu kerana pengasingan pelajar lelaki dan perempuan dalam pendidikan telah diamalkan dalam Islam semenjak zaman Nabi sehinggalah era kegemilangan ilmu empayar Khilafah Uthmaniyah, malah telah terbukti bahawa mereka berjaya menghasilkan masyarakat yang tidak terjejas tetapi bertamadun tinggi dan harmoni.

Bukan itu sahaja, sistem persekolahan Inggeris yang dipandang tinggi oleh masyarakat itu juga mengamalkan pengasingan di antara murid lelaki dan perempuan pada suatu ketika dahulu!

Saya percaya guru memiliki tanggungjawab besar dalam memelihara pergaulan di antara pelajar lelaki dan perempuan dengan mewujud serta menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sewaktu kelas mahupun sepanjang sesi persekolahan.

Selain pengasingan di antara pelajar lelaki dan perempuan, guru boleh memilih untuk menguatkuasakan peraturan lain sebagai alternatif yang lebih longgar dan mudah dilaksanakan.

Antaranya, melarang pelajar lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan dan bersentuhan terutamanya jika pelakunya adalah pelajar muslim. Guru juga perlu menegur pelajar lelaki yang mengusik pelajar perempuan secara berlebih-lebihan serta pelajar lelaki dan perempuan yang bergurau senda melampaui batasan.

Dalam menjalankan fungsinya di sekolah, guru sepatutnya dapat mengubah cara hidup pelajar sungguhpun di luar sekolah pelajar itu mungkin berdisfungsi. Dalam usaha mendisiplinkan pelajar, guru mungkin menggunakan kaedah penguatkuasaan dengan mengetatkan peraturan dan hukuman (Amir Hasan Dawi 2006:239).

02. Cara pemakaian

Pakaian pelajar perempuan yang terdedah boleh menyumbang kepada berlakunya gejala-gejala sosial kerana pakaian diibaratkan sebagai umpan untuk menarik perhatian lelaki yang boleh membawa kepada berlakunya seks bebas, rogol, sumbang mahram dan lain-lain. Dalam hal ini, guru seharusnya memerhati, menegur dan menasihati pelajar-pelajar perempuan yang gemar berpakaian menjolok mata supaya berpakaian sopan di mana-mana sahaja .

Antara kepentingannya adalah untuk mengelakkan pelajar perempuan diganggu oleh kaum lelaki sewaktu keluar dari rumah malah ketika berada di dalam rumah juga pelajar perempuan sewajarnya berpakaian sopan atau tidak terdedah untuk mengelakkan rangsangan seksual kepada ahli keluarga lelaki.

Tambahan pula, kejadian kes sumbang mahram telah berlaku secara berleluasa akhir-akhir ini. Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga melaporkan 306 kes sumbang mahram pada tahun 2002 dan pada bulan September 2005, media tempatan telah melaporkan bahawa berdasarkan kajian yang telah dijalankan terhadap 133 orang pesalah laku seksual, 23 peratus daripada mangsa adalah anak perempuan mereka sendiri (Biro Demokrasi, Hak Asasi dan Buruh, 2005). Ahli sosiologi, psikologi dan pendidik bersependapat mengatakan penampilan seksi wanita adalah salah satu punca berlaku kejadian rogol.

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada wanita-wanita mukminat agar mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang telah zahir pada dirinya dan hendaklah mereka menutup dengan tudung mereka ke atas dada mereka dan janganlah mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali kepada suami-suami mereka, bapa-bapa mereka, bapa suami mereka, anak-anak mereka, anak-anak suami mereka, anak-anak lelaki bagi saudara lelaki mereka, anak-anak lelaki bagi saudara perempuan mereka, wanita-wanita Islam, hamba sahaya yang mereka miliki, lelaki yang mengikut mereka yang sudah tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau kanak-kanak kecil yang belum mengetahui mengenai aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki mereka supaya diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." (Surah an-Nur: 31)

03. Menerangkan adab dalam kehidupan pelajar

Penerapan nilai-nilai murni dalam diri seperti amalan berdisiplin, adil, bertanggungjawab, kerjasama dan toleransi perlu dicanai dalam diri mereka. Ini kerana, pendidikan akhlak merupakan wadah penting untuk merungkai permasalahan akhlak dan melahirkan manusia yang baik.

Berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam KBSM, pengenalan komponen adab dan akhlak Islam dalam kurikulum Pendidikan Islam pada 2003 adalah merupakan suatu usaha untuk mempertingkat dan mengemaskini lagi pengajaran dan pembelajaran akhlak di sekolah yang antara lainnya bagi mencapai matlamat dalam melahirkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri berikut :

  • iman dan taqwa yang kukuh sebagai benteng ketahanan diri,
  • menguasai ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah sebagai pedoman hidup,
  • mengamalkan tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah bagi memenuhi tanggungjawab ibadah
  • berakhlak mulia sebagai pelengkap diri dan tonggak budaya.

Hanya menerusi iman dan taqwa yang mantap sahaja dapat mengawal diri pelajar daripada gejala negatif. Ini bermakna, adab dan akhlak Islam mesti menjadi induk utama kepada nilai-nilai materialisme, sekularisme dan sainstisme.

Tuntutan Islam juga menyeru umatnya berdakwah iaitu saling nasihat-menasihati mengikut kemampuan masing-masing bagi menjauhkan perkara keji daripada berlaku dalam masyarakat berikutan daripada pengaruh persekitaran atau budaya luar.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud,

''Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah, nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka secara yang lebih sopan. Ssungguhnya Tuhanmu jualah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari alan-Nya dan Dia lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.'' (Surah An-Nahl: 125)

04. Saranan rakan-rakan pelajar yang baik

Guru perlu menyarankan pelajar mencari kawan sebaya yang betul kerana pemilihan rakan sebaya yang betul dapat mengelakkan pelajar daripada terpengaruh dengan unsur-unsur seperti yang dinyatakan di atas.Rasulullah s.a.w. pernah berpesan terhadap keperluan mencari teman yang baik umpama berkawan dengan penjual minyak wangi. Jika kita tidak dapat membeli minyak wanginya, pasti akan dapat mencium bau wangian jualannya. Namun, jika berkawan dengan si tukang besi, pasti akan terkena percikan kepanasan api yang digunakan ketika bertukang besi.

Menurut Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman (2008: 2), mazhab idealisme menyatakan pendidikan ialah untuk melahirkan individu bermoral yang boleh berperanan dalam masyarakatnya.

Di sini jelaslah bahawa pendidikan Islam dan Moral perlu menekankan kepada aspek penghayatan pelajar, bukan hanya mementingkan aspek kognitif sahaja. Justeru itu, suatu langkah yang lebih menyeluruh perlu difikirkan dan diambil bagi menilai aspek penghayatan pelajar dari segi agama dan moral. Suasana yang kondusif ke arah pembentukan akhlak dan moral yang baik perlu diwujudkan di sekolah, dalam keluarga dan masyarakat. Hanya dengan suasana yang saling menyokong ini, pelajar-pelajar yang berakhlak dan bermoral dapat dilahirkan.

Kenapa Engkau Malas Sembahyang

Kenapalah engkau malas sembahyang?
Allah beri engkau jasad lengkap dengan bayang-bayang,
Tidakkah lebih beruntung daripada tiang,
Berdiri roh malam dan siang?

Kenapalah engkau malas sembahyang?
Hendak makan minum pun dah senang,
Negara aman bukan perlu berperang,
Lima minit untuk lima waktu pun tak boleh luang.
...

Kenapalah engkau malas sembahyang?
Allah beri akal supaya engkau berbeza dengan binatang,
Allah beri ilmu boleh berfikir susah dan senang,
Allah beri banyak nikmat kenapa tidak dikenang?

Kenapalah engkau malas sembahyang?
Main bola sanggup sampai ke petang,
Beli tiket konsert sanggup beratur panjang,
Engkau ingat boleh masuk syurga dengan senang?

Kenapalah engkau malas sembahyang?
Ingatlah umur kita bukannya panjang,
Pagi kita sihat, petang boleh kaku kejang,
Dalam kubur nanti jawablah seorang.
...

Kenapalah engkau malas sembahyang?
Siksa neraka cubalah dibayang,
Masa di akhirat terlalu panjang,
Janji Allah pasti datang tidak terhalang.

Ingatlah wahai saudara Islamku sekalian,
Sematkanlah kata-kata ini sebagai peringatan,
Fikirkan sejenak kepada pesanan:
"Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan."

"Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku."

Saturday, December 4, 2010

Bulan Bulan Islam

1 Muharram bakal menemui kita beberapa hari sahaja lagi. Di kesempatan ini, apa kata kita melihat semula apakah bulan-bulan yang ada dalam kalender Islam. Selain itu, kita akan melihat juga perkara menarik di sebalik setiap bulan.

(Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa). (Surah Al-Taubah : 36)

Dua belas bulan yang disebut oleh Allah di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah SAW di dalam sebuah hadith yang telah diceritakan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a bahawa Rasulullah SAW memberikan khutbah ketika ibadah haji dengan berkata:

Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah menciptakan langit dan bumi, setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jumada dan Syaaban. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Bulan dalam bahasa Arab disebut "Al-Syahru" bermaksud bulan yang merujuk kepada bulan-bulan yang terdapat dalam Islam yang dipanggil bulan-bulan Hijriyah. Tarikh Hijriyah Islam yang pertama adalah bermula ketika Nabi Muhammad SAW serta umat Islam telah sampai dan berhijrah ke Madinah. Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan telah dirasmikan penggunaannya oleh Saidina Umar al-Khattab r.a adalah seperti berikut :

Muharram
Muharam ertinya diharamkan. Bulan ini merupakan bulan yang termasuk dalam senarai bulan-bulan yang diharamkan berperang.

Safar
Safar adalah bulan ke-2 dalam bulan Islam yang bererti kosong, kerana penduduk Arab ketika itu keluar dari kampung mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas. Rumah menjadi kosong.

Rabiulawal dan Rabiulakhir
Rabiulawal dan Rabiulakhir ertinya musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mengeluarkan bunga dan tumbuhan menghijau. Rabiulawal dan Rabiulakhir merupakan bulan Islam yang ke-3 dan ke-4.

Jumadilawal dan Jumadilakhir
Jumadilawal (Jumada al-Awwal) dan Jumadilakhir (jumada al-Akhir) , merupakan bulan ke-5 dan ke-6. Perkataan Jumada bermaksud kemarau di mana bulan ini merupakan musim kemarau yang bermula pada bulan Jamadilawal dan berakhir pada Jamadilakhir.

Rejab
Rejab adalah bulan ke-7 pula bermaksud mengagungkan dan membesarkan. Menurut sejarahnya, bulan Rejab dimuliakan orang Arab dengan menyembelih anak unta pertama dari induknya. Pada bulan ini dilarang berperang dan pintu Ka'bah dibuka.

Syaaban
Syaaban bererti berselerak/ pecahan yang banyak, di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka keluar bertebaran pada bulan ini setelah terpaksa berkurung di rumah ketika bulan Rejab. Pada bulan ini juga, mereka keluar beramai-ramai mencari air dan makanan.

Ramadhan
Ramadhan merupakan bulan ke-9 dalam kalendar Islam. Ia bererti terik atau terbakar, kerana kebiasaannya pada bulan ini, cuaca sangat terik dan panas di Semenanjung Arab. Dan setelah Islam menapak, bulan ini merupakan bulan puasa bagi umat Islam.

Syawal
Syawal pula dinamakan sempena dengan musim di mana unta kekurangan susu pada waktu ini. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja Tasyawwala yang bermaksud sedikit atau berkurangan. Manakakala setelah kedatangan Islam, Syawal merupakan bulan peningkatan kebajikan setelah melewati masa latihan pengendalian diri selama sebulan penuh dengan puasa Ramadan. Pada awal bulan Syawal, kaum Muslim merayakan Hari Raya Idul Fitri atau perayaan yang menandai kemenangan melawan hawa nafsu. Syawal merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Hijrah.

Zulkaedah
Zulkaedah merupakan bulan ke-11, ia merujuk kepada kebiasaan penduduk Arab zaman sebelum Islam tidak berperang kerana ia termasuk dalam bulan-bulan haram berperang. Perkataan Kaedah itu berasal dari 'Qa 'ada' yakni duduk.

Zulhijjah
Zulhijjah adalah bulan ke-12 dan bulan terakhir Hijrah. Ia disebut Zulhijah (Ar.: Zu al-Hijjah) yang berarti "yang empunya haji". Pada zaman sebelum kedatangan Islam, bulan ini merupakan bulan untuk melakukan ibadah haji ke Mekah (Ka'bah). Setelah kedatangan Islam, ibadah haji masih tetap dilaksanakan pada bulan Zulhijah yakni pada tanggal 8, 9 dan 10 Zulhijah.

Tuesday, November 30, 2010

Bolehkah Belajar Ilmu Tanpa Berguru

Sejak kebelakangan ini, kita sering kedengaran seruan dan juga saranan supaya mendalami perbahasan para ulama cukup sekadar berpandukan buku-buku yang dibeli sahaja tanpa perlu merujuk dan bertalaqqi dengan para ulama.

Mereka juga turut merasa yakin dengan kefahaman sendiri seolah-olah menyamakan taraf ilmu agama yang sangat rumit dan memerlukan penjelasan daripada para ulama dengan ilmu-ilmu keduniaan yang lain.

Maka muncullah golongan tertentu yang merasakan diri mereka sudah cukup layak untuk masuki di dalam bidang ini hasil bacaan buku semata-mata.

Gejala ini mengundang pelbagai kesan negatif di antaranya kelemahan mereka memahami dan mendalami perbahasan sesuatu bidang ilmu itu dengan gambaran yang sebenarnya.

Ini kerana ilmu Islam bukan sahaja mencakupi fakta dan kenyataan semata-mata, bahkan ia memerlukan kefahaman yang jelas daripada dada-dada para alim ulama yang mengambil ilmu daripada ulama terdahulu sehinggalah sampai kepada Rasulullah SAW.

Tanpa bimbingan daripada ulama atau guru, jikalau berlaku salah kefahaman ketika membaca, seseorang itu akan terus sesat dengan kefahamannya tadi bahkan terus menyesatkan orang lain pula.

Disebabkan itulah muncul kenyataan bahawa belajar agama seorang diri dengan buku semata-mata tanpa bimbingan ulama/guru seumpama bergurukan syaitan (walaupun kebanyakkan ulama berpendapat kenyataan ini bukan hadis tetapi Ibnu Arabi di dalam kitabnya al-Futuhat al-Makiah berpendapat bahawa kenyataan ini adalah hadis).

Memandangkan perkara ini telah menjadi perdebatan hangat, maka saya ingin mengambil sedikit ruang untuk menjelaskan perkara ini.

Semoga penjelasan ringkas ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

InsyaAllah.

Alim Ulama Adalah Pewaris Para Nabi

Perkataan ulama merupakan kata jamak dari kata dasar alim bermaksud seseorang mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam. Ini berbeza dengan perkataan alim yang beerti orang yang mengetahui akan tetapi belum tentu orang itu mendalami.

Perkataan ulama ini telah disebutkan pada beberapa tempat di dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW. samaada secara langsung ataupun tidak yang menunjukkan bahawa ulama adalah individu-individu terpilih yang menguasai ilmu Allah Taala dengan mendalam dan memiliki akhlak terpuji.

Oleh itu, ulama yang saya maksudkan di sini ialah seseorang pakar yang mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan dengan agama Islam secara mendalam dengan syarat-syarat tertentu sebagai ulama.

Para ulama ialah mereka yang mampu menyingkap dan memahami dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW dengan sempurna.

Mereka juga bukan sahaja setakat memahami dalil-dalil dan penjelasan daripada ulama silam, bahkan ada diantara mereka menghafal ratusan ribu hadis, matan-matan ilmu dan sebagainya lagi untuk melayakkan mereka diistilahkan sebagai seorang ulama.

Mereka sentiasa istiqamah dan melazimi ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu dengan ikhlas yang diajarkan kepada mereka bersumberkan dari Rasulullah SAW. Agama Islam telah mengiktiraf ulama sebagai pewaris para nabi sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis:

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. - Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah

Oleh itu, dapatlah kita simpulkan di sini bahawa ulama adalah golongan yang mendapat kelebihan dan kemuliaan di sisi agama Islam dengan mengiktiraf mereka sebagai pewaris para nabi.

Memandangkan ulama mendapat tempat yang istimewa juga di dalam masyarakat, maka ramailah pula golongan tertentu seolah-olah mendakwa diri mereka sama tarafnya dengan ulama sedangkan mereka baru sahaja mengecapi permulaan memahami ilmu-ilmu Islam.

Golongan seperti inilah yang akan merosakkan syariat agama sedikit demi sedikit daripada mengikut manhaj para ulama yang sebenarnya.

Kepentingan Mempelajari Ilmu Agama Daripada Ulama

Kita biasa mendengar suara-suara sumbang daripada golongan tertentu yang cuba sedaya-upaya untuk merendah-rendahkan keilmuan dan kemuliaan para ulama bagi menutup kelemahan dan kesalahan yang telah mereka lakukan.

Ada di antara mereka ini berkata bahawa para ulama bukanlah maksum sepertimana Rasulullah SAW lantas menyarankan agar tidak perlu mengikut tunjuk ajar daripada para ulama untuk memahami urusan agama Islam ini.

Mereka juga berkata bahawa boleh sahaja untuk mengambil terus dalil-dalil al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW dengan kefahaman sendiri dengan hanya merujuk kepada buku-buku tertentu.

Adakah tindakan ini bertepatan dengan Islam?

Firman Allah Taala bermaksud:

Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (alim ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya. - Surah al-Nahl: Ayat 43

Imam Syatibi di dalam karyanya al-Muwafaqat telah menjawab persoalan ini dengan beliau menimbulkan persoalan mengenai bolehkah seseorang itu memperolehi dan mempelajari ilmu agama dengan kefahaman sendiri tanpa guru.

Beliau mempertahankan hujjahnya yang mengatakan betapa perlunya guru di dalam mendalami dan memahami sesuatu ilmu itu.

Imam Syatibi juga mengatakan bahawa para ulama telah berkata:

Sesungguhnya ilmu itu berada di dada-dada guru, kemudian dipindahkan ilmu tersebut ke dalam kitab. Maka kunci bagi ilmu tersebut tetap berada di tangan para guru.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Sesungguhnya Allah Taala tidak mencabut ilmu dengan menghilangkan ilmu daripada manusia akan tetapi Allah Taala mencabut ilmu dengan mematikan para ulama. - Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi

Menurut Imam Syatibi lagi, hadis ini bertindak sebagai hujjah bahawa guru adalah kunci bagi ilmu dan keperluan mempelajari ilmu daripada dada-dada guru.

Selain itu juga, bagi pelajar yang tidak faham sesuatu perkara yang dipelajarinya, mereka boleh terus bertanya kepada guru/ulama untuk mendapatkan penjelasan sehingga terang semuanya.

Sedangkan bagi yang belajar tanpa guru, kefahaman mereka amat terbatas berdasarkan buku yang ada di hadapan mereka semata-mata.

Boleh jadi kefahaman mereka itu betul dan besar kemungkinan juga kefahaman mereka itu salah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Ilmu itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga kamu diberikan rahmat oleh Allah Taala. Maka sesungguhnya dari satu pertanyaan itu diberikan pahala akan empat orang. Pertamanya orang yang bertanya. Keduanya guru yang menjawab. Ketiganya orang yang mendengar jawapan itu. Keempatnya orang yang cinta kepada mereka - Riwayat Abu Nuaim

Kritikan Belajar Agama Tanpa Bimbingan Ulama/Guru

Sanggahan dan kritikan belajar tanpa bimbingan ulama/guru ini saya nukilkan daripada kata-kata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi. Kenyataan beliau ini diambil dari kitabnya al-Sahwah al-Islamiah Baina al-Jumud Wa al-Tatarruf, katanya:

Kebanyakkan daripada mereka tidak bertalaqqi dengan ahli ilmu dan syeikh-syeikh yang mempunyai pengetahuan khusus di dalam bidang tersebut.

Sebaliknya mereka hanya menelaah lembaran dan helaian kitab secara langsung tanpa membuka peluang dan tempoh untuk merujuk dan berbincang apa yang akan diambil dan ditolak pendapatnya untuk membolehkan dikenalpasti kefahaman itu dan pengetahuan yang diletakkan di dalam mensyarahkan secara mendalam.

Ini akan dibentangkan dan diperbahaskan ketika tempoh pengkajian.

Akan tetapi, malangnya mereka hanya membaca sedikit sahaja dan berdasarkan kefahamannya (yang sedikit) itu mereka mengistinbatkan (mengeluarkan) hukum-hakam.

Barangkali mereka melakukan kesalahan ketika membaca, salah kefahaman atau juga salah di dalam mengistinbatkan hukum, tetapi mereka masih tidak mengetahui kesalahan mereka itu.

Beliau menambah lagi kenyataan itu:

Walaupun mereka ini ikhlas, namun hakikatnya mereka lupa bahawa ilmu syariat (agama Islam) dan kefahamannya perlu dirujuk kepada ahli ilmu berkenaan yang boleh dipercayai.

Sesungguhnya mereka tidak akan mampu merempuh lautan luas ini secara seorang diri tanpa pembimbing (ulama/guru) yang sentiasa memimpin tangan mereka.

Pembimbing inilah yang akan menerangkan kepada mereka apa yang tidak jelas dan istilah-istilah yang mempunyai kesamaran dan menerangkan dari cabang-cabang sehinggalah apa yang utama dan akan memperlihatkan segala kesamaran.

Pada akhir penerangannya mengenai perkara ini, beliau menegaskan lagi kenyataannya bahawa perlunya berguru untuk mempelajari ilmu agama, katanya:

Inilah (mempelajari ilmu agama dengan ulama/guru) merupakan apa yang telah dijadikan sebagai langkah berhati-hati oleh para ulama Salaf al-Soleh agar menjauhi dari mempelajari ilmu dengan cara seperti ini (tanpa berguru).

Mereka berkata: Janganlah mengambil al-Quran al-Karim hanya dengan mushafnya dan bukanlah ilmu itu diambil dengan hanya daripada mushaf (kitab).

Apa yang dimaksudkan dengan mengambil hanya daripada mushaf itu ialah menghafaz al-Quran al-Karim dari catatan-catatan pada mushaf tanpa bertalaqqi (mengambil dan belajar ilmu secara bersemuka dengan para ulama/guru) dengan mulut-mulut guru yang diyakini (keilmuannya).

Peringatan ini bermaksud mengambil ilmu daripada catatan-catatan semata-mata tanpa belajar daripada ahli ilmu.

Berkata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi lagi di dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd:

Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadis, lantas merasakan mereka sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya.

Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, di dalam masa yang sama ilmu Bahasa Arab serta komponen-komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang.

Seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik.

Mereka juga tidak mempelajari ilmu Usul Fiqh! Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan segala permasalahan.

Hal ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan ilmu fiqh apatah lagi untuk menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik.

Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata Imam Zahabi: Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu.

Tidak Boleh Langsung Belajar Dengan Buku?

Walaupun saya menyeru kepada belajar ilmu agama dengan para ulama/guru yang diyakini, ini bukanlah bermakna saya menolak secara mutlak belajar melalui buku.

Cumanya belajar dengan buku tanpa guru perlu diberikan penelitian dan perhatian tentang keharusannya pada beberapa ketika.

Bagi mereka yang berada di peringkat permulaan dan menengah, maka sudah pastilah tuntutan mempelajari ilmu itu secara berguru lebih diutamakan memandangkan mereka tidak mempunyai asas yang kukuh tentang sesuatu ilmu itu.

Setelah mereka memahami dan mendalami segala asas-asas yang diperlukan dengan kukuh, barulah mereka harus membaca buku-buku yang berkaitan untuk menambahkan lagi pengetahuan.

Namun jika terdapat beberapa perkara yang kurang difahami atau wujud kesamaran ketika pembacaan, maka mereka dituntut semula untuk bertanya dengan ulama/guru.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan menuntut ilmu secara berguru, mereka juga diharuskan membaca buku-buku atau mendengar ceramah dan boleh juga membaca di internet untuk meningkatkan pengetahuan masing-masing.

Namun jika terdapat sebarang perkara yang kurang difahami, maka mereka mestilah merujuk juga kepada ulama/guru yang diyakini untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

Ini kerana seseorang ulama/guru lebih memahami sesuatu ilmu itu berbanding dengan orang yang hanya membaca buku semata-mata sebagai rujukan.

Oleh itu, keutamaan dan kelebihan sudah pastilah berada pada mereka yang mempelajari ilmu agama secara berguru jika hendak dibandingkan dengan golongan yang mempelajari ilmu agama tanpa berguru.

Ini kerana menuntut ilmu agama dengan berguru merupakan jalan yang ditempuhi oleh generasi Salaf al-Soleh dan para ulama lain.

Manakala bagi mereka yang telah mendalami dan menguasai segala asas-asas ilmu, mereka sudah boleh membaca sendiri kerana mereka mampu memahami isi kandungan buku berkenaan berpandukan apa yang telah mereka pelajari daripada ulama/guru sebelum itu.

Penutup

Andaikata Islam menggalakkan belajar tanpa guru, mengapakah para ulama terdahulu sanggup merantau dan berpindah-randah demi untuk menuntut dengan ulama yang diyakini?

Bahkan mereka mempunyai ratusan guru yang terdiri daripada alim ulama muktabar, bukankah ini menunjukkan kepentingan berguru di dalam menuntut ilmu agama?

Mungkin ada yang berpendapat, zaman dahulu tidak mempunyai teknologi canggih sepertimana sekarang, disebabkan itulah mereka merantau untuk menuntut ilmu.

Jika benar kenyataan ini, mengapa pula Nabi SAW menyarankan umatnya untuk belajar (anak murid) dan mengajar (guru)?

Bukankah ini menunjukkan bahawa kepentingan menuntut ilmu agama secara berguru?

Tidak mungkin segala saranan Nabi SAW ini silap dan tidak mengikuti perkembangan zaman, bukan?

Berkata Muhammad bin Sirin (seorang alim di zaman tabien) sepertimana yang disebutkan di dalam kitab Sahih Muslim karangan Imam Muslim:

Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Maka lihatlah dari siapa engkau mengambil agamamu!

Bencana Lidah

Lisan atau lidah manusia memang gemar membuat janji, tetapi seringkali pula jiwa tidak ingin menepati janji yang dibuat oleh lisan tadi. Maka dengan itu jadilah janjinya bohong atau janji yang dimungkiri. Itu adalah tanda-tanda adanya sifat nifaq pada orang itu.

Allah telah berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman tepatilah janji-janji." (Surah l-Maidah : 1)

Allah s.w.t. telah memberikan setinggi pujian ke atas Nabi Ismail a.s. di dalam kitab-Nya yang mulia dengan firman-Nya:

"Sesungguhnya dia (Ismail) adalah benar janjinya." (Surah Maryam : 54)

Apabila Saiyidina Abdullah bin Umar telah hampir menemui ajalnya, beliau berkata:

"Sebenarnya dulu ada seorang Quraisy telah meminang puteriku, dan aku telah mengikat suatu perjanjian untuk menikahkan puteriku itu kepadanya. Demi Allah aku tidak gemar menemui Tuhan, sedang sepertiga dari sifat nifaq itu ikut bersama-samaku. Oleh itu saksikanlah, bahawasanya aku telah menikahkan si Fulan itu dengan puteriku."

Diceritakan dari Abdullah bin Abul-Khansa’, katanya:

"Saya pernah mengikat janji dengan Rasulullah s.a.w. sebelum baginda diangkat menjadi nabi. Ada barang yang saya janjikan kepadanya akan saya bawa ke tempat yang telah dipersetujui, tetapi malangnya saya terlupa hari itu dan juga esoknya. Maka saya mendatanginya pada hari ketiga, dan saya dapati baginda masih tetap menunggu di tempatnya. Bila saya sampai, maka baginda berkata:

"Wahai pemuda! Engkau telah menyakiti aku dengan janjimu, sebab saya berada di sini menunggu sejak tiga hari lalu."

Ibnu Mas’ud r.a. pula bila berjanji, niscaya dia akan berkata: "InsyaAllah."

Cara beginilah yang lebih baik. Sesudah berkata InsyaAllah, jika ia memang faham bahawa menepati janji itu adalah wajib, maka hendaklah ia menepati janji itu, kecuali jika dihalangi oleh keuzuran. Akan tetapi jika ketika membuat janji itu, hatinya telah bertekad untuk memungkirinya.

Maka itulah yang dinamakan sifat nifaq.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Tiga perkara, barangsiapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim, iaitu; bila berbicara ia bohong, bila berjanji ia mungkiri dan bila menerima amanah dia khianati."

Sabda Baginda yang lain:

"Empat perkara yang jika seseorang manusia ada di dalamnya, maka ia menjadi munafik, dan barangsiapa mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu, samalah seperti ia mempunyai sifat kemunafikan, sehingga dia menjauhinya lagi: Jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia mungkiri, jika membuat pengakuan dia belot dan jika menuntut dia curang."

Sifat-sifat ini hampir-hampir tertimpa ke atas orang yang ketika berjanji, dia siang-siang telah berazam untuk menyalahi janjinya ataupun yang memungkiri janji tanpa apa-apa keuzuran.

Adapun orang yang berazam untuk menepati janji, tiba-tiba tanpa disangka-sangka pula timbul suatu keuzuran yang menghalangnya dari memenuhi janjinya, maka orang itu tiadalah terkira seorang munafik meskipun pada lahirnya sifat kemunafikan itu berlaku atas dirinya.

Namun sebaik-baiknya, hendaklah dia cuba menghindarkan diri dari terkena sifat kemunafikan itu sebagaimana dia menjauhkan dirinya dari hakikat kemunafikan juga; iaitu apabila berjanji, cari jalan supaya keuzuran tidak akan berlaku tanpa ada sebab yang benar-benar dharurat.

Sahabat.. ketahuilah. Apabila dimungkiri, ia sakit dan pedih. Jadi hindarilah dari memungkiri janji.

Tips Bangun Subuh

Tips Bangun Subuh

Ramai di kalangan kita yang mengalami kesukaran untuk bangun awal pagi dan mendirikan solat Subuh di awal waktu.

Masalah ini terjadi atas beberapa sebab; antaranya ia telah menjadi tabiat, tidur lewat dan perasaan malas.

Berikut adalah beberapa panduan atau tips yang boleh dicuba oleh kita bagi mengatasi masalah ini :

1. Tidur awal; sekitar 10 atau 11 malam supaya tidur anda mencukupi.

2. Ambil wuduk sebelum tidur.

3. Tanam azam di dalam diri untuk bangun awal.

4. Baca surah Al-Mulk, tiga Qul dan doa sebelum tidur.

5. Pasangkan niat; 'Aku nak bangun pukul sekian kerana Allah.'

6. Maafkan semua orang sebelum tidur.

7. Elakkan makan makanan berat sebelum tidur.

8. Elak diri dari melakukan maksiat sebelum tidur.

9. Gunakan jam loceng atau alarm di telefon bimbit untuk membantu anda. Pastikan ia berkualiti.

10. Minta tolong orang lain seperti ibu atau rakan untuk mengejutkan anda. Mungkin minta mereka simbahkan air atau urut ibu jari anda sekiranya masih sukar untuk bangun!

Panduan di atas memerlukan sedikit latihan. Namun insyaAllah, Allah pasti tolong kita sekiranya kita MAHU.

Solat Oh Solat

Apa Hebatnya Solat Di Awal Waktu?

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.

Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?

Waktu Subuh

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.

Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.

Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.

Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.

Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zohor

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.

Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.

Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.

Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Waktu Asar

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.

Rahsia warna oren ialah kreativiti.

Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu).

Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Waktu Magrib

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.

Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.

Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.

Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.

Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.

Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.

Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam.

Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Qiamullail

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.

Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.

Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.

Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.

Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.

Wallahualam.